Bilal kecewa dipecat

Mohd Yatim menunjukkan surat penamatan khidmatnya sebagai bilal Masjid Mukim Ipoh, Tanah Merah, berkuat kuasa 1 November lalu.

TANAH MERAH - Bekas bilal Masjid Mukim Ipoh, di sini, menyifatkan pemecatannya daripada jawatan itu awal bulan ini selepas berkhidmat dengan baik selama hampir enam tahun sebagai zalim.

Mohd Yatim Omar, 55, berkata, selain tidak dinyatakan sebarang sebab pemecatan, penamatan khidmatnya juga dibuat secara drastik tanpa makluman atau notis awal.

Katanya, surat pelucutan jawatannya sebagai bilal diterima pada 29 Oktober lalu iaitu dua hari sebelum tindakan berkenaan berkuat kuasa, 1 November.

“Jika ada aduan terhadap saya, patut siasat dulu sama ada betul atau tidak, dan kalau betul sekali pun, sepatutnya beri surat amaran atau notis sekurang-kurangnya dua tiga bulan dan bukannya terus pecat,” katanya, semalam.

Dituduh aktif berpolitik

Mohd Yatim berkata, dia percaya tindakan itu diambil semata-mata kerana dia dituduh aktif berpolitik susulan dakwaan sama dibuat seorang imam masjid berkenaan.

“Saya pernah dipanggil pihak terbabit kira-kira sebulan sebelum pilihan raya umum, Mei lalu selepas seorang imam menghantar surat aduan dan mendakwa saya ‘kuat main parti’.

“Waktu itu, saya diminta meneruskan tugas sebagai bilal seperti biasa dan tidak diberitahu akan ditamatkan perkhidmatan sehinggalah saya terima surat pemecatan, baru-baru ini,” katanya.

Hanya ahli parti biasa, dengar ceramah jika ada masa

Tambah Mohd Yatim, jika benar pemecatan dibuat bersandarkan dakwaan itu, ia tidak adil kerana imam terbabit sebenarnya lebih aktif berpolitik, bahkan menjadi penceramah sebuah parti politik.

“Saya hanya ahli parti biasa dan sekali-sekala pergi dengar ceramah politik bila ada masa, berbanding orang yang menuduh saya yang lebih aktif berpolitik, malahan jadi penceramah mingguan di markas sebuah parti,” katanya.

Menurut Mohd Yatim, pemecatan itu juga menyebabkan dia kehilangan elaun bulanan berjumlah RM550 yang diterimanya selepas dilantik sebagai bilal masjid berkenaan pada 1 Januari 2008.

“Duit elaun sebagai bilal saya guna untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga terutama ketika musim hujan apabila tidak dapat keluar menoreh,” katanya.

Tidak kenang jasa

Dalam pada itu, Mohd Yatim turut menyifatkan tindakan pihak terbabit memecatnya sebagai tidak mengenang budi dan jasanya terhadap pembangunan masjid berkenaan.

Katanya, ramai tidak tahu projek pembinaan bangunan tambahan masjid dan dua rumah imam bernilai RM700,000 yang baharu siap adalah tinjauan usahanya bersama seorang bekas pengerusi masjid berkenaan.

“Pada 2008, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan RM500,000 untuk masjid ini tetapi perkara itu kemudian senyap kerana tidak ada tindakan susulan.

“Apabila Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz jadi Ketua Umno Bahagian Tanah Merah pada 2009, saya bersama seorang bekas pengerusi masjid berjumpa dengan beliau dan tunjukkan keratan akhbar mengenai pengumuman Najib,” katanya.

Tambahnya, selepas dua pertemuan bersama Ikmal Hisham dan tindakan susulan ketua Umno bahagian itu, Kerajaan Persekutuan akhirnya meluluskan peruntukan baharu berjumlah RM700,000.

“Semua itu berlaku masa imam yang tuduh saya ini belum bertugas di masjid ini lagi, bahkan masa dia datang, semuanya sudah siap tersedia termasuk rumah imam,” katanya.

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Lala blogs - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger